Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Osmera Omaro, mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahan pemainnya meskipun melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Palestin dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Menurut Osmera, dia mengakui banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bersama barisan kejurulatihan bagi memperbaiki kelemahan pasukan, terutama membabitkan barisan pertahanan.

“Saya puji barisan pemain apabila berjaya menumpaskan Palestin, cuma banyak perkara perlu diperbaiki, terutama kesilapan yang sering diulangi barisan anak buah kami."

Dalam aksi sulung Kumpulan B itu, yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia, anak buah Osmera Omaro diberi tentangan sengit dalam separuh masa pertama, sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, dalam separuh masa kedua, pasukan negara mempamerkan aksi cemerlang sehingga mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-50 menerusi jaringan Anjasmirza Saharudin.

Jaringan itu nyata menambahkan semangat pemain muda negara apabila menggandakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyudah Faris Danish Mohd Asrul.

Skuad muda negara terus menambah derita pasukan Palestin apabila Arami Wafiy Mohamad Zakimi mengukuhkan lagi kedudukan dengan meledak gol ketiga pada minit ke-74, sebelum Zainurhakimi Zain Azraii melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbang gol keempat ketika perlawanan berbaki tiga minit.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini mengungguli tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata.

Malaysia akan meneruskan saingan kelayakan berdepan Guam pada Rabu ini sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan tuan rumah, Indonesia (9 Oktober).



Kredit: Sinar Harian