MALAYSIA 3 UAE 2

Malaysia menghidupkan peluang dalam kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2023 apabila meraih kemenangan dramatik ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kumpulan B di Stadium Pakansari sebentar tadi.

Skuad negara bermula baik menerusi gol pembukaan Arami Wafiy Zakim pada penghujung babak pertama sebelum Anjasmirza Saharudin menggandakan kelebihan itu selepas enam minit perlawanan bersambung.

Bagaimanapun, kem negara kemudian cemas apabila UAE memperoleh dua gol dalam tempoh lapan minit, masing-masing disumbangkan Saeed Amir pada minit ke-76 dan Mohamed Almarzooqi pada minit ke-84.

Ketika skuad negara kelihatan akan menelan keputusan seri kedua selepas terikat 1-1 dengan Guam kelmarin, Farish Danish Asrul muncul wira Harimau Muda apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan skuad bimbingan Osmera Omaro berkenaan di tangga teratas kumpulan B dengan tujuh mata menjelang perlawanan di antara tuan rumah, Indonesia, dan pasukan di tangga tercorot, Palestin, malam ini.

Malaysia kemudian akan berdepan satu lagi misi wajib menang ke atas Indonesia hujung minggu ini untuk melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir pada Mei depan.