MALAYSIA 2 AUSTRALIA 2

Perjuangan skuad B-16 negara dalam Kejohanan AFF B-16 berakhir selepas terikat 2-2 dengan Australia dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C di Stadium Maguwoharjo, Sleman sebentar tadi.

Turun dengan misi wajib menang, pasukan bimbingan Osmera Omaro itu, bagaimanapun, ketinggalan seawal minit ke-17 apabila Ayman Gulasi memecahkan kebuntuan buat Australia.

Anjasmirza Saharudin kemudian kembali mengikat kedudukan pada minit ke-36 untuk memberikan sedikit kelegaan buat skuad negara sehingga ke bilik persalinan.

Terdapat sedikit sinar diterbitkan Harimau Muda apabila Anjasmirza menemui jaringan kedua peribadinya selepas tiga minit perlawanan bersambung tetapi Max Hately membawa watak pemusnah buat skuad negara menerusi jaringan penyamaannya pada minit ke-65.

Dengan keputusan itu, Malaysia kandas di peringkat kumpulan selepas hanya mengumpulkan lima mata, kurang dua mata di belakang juara Kumpulan C, Myanmar, yang menewaskan Kemboja 1-0 dalam satu lagi perlawanan.

Vientam pula muncul pasukan naib juara terbaik dengan enam mata dalam saingan Kumpulan A untuk mengiringi Indonesia ke separuh akhir.