Ketua jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann, mendedikasikan kejayaan pasukannya menjulang DFL Supercup buat bekas pengendali pasukan itu, Hansi Flick.

Bayern menewaskan seteru Klasikker, Borussia Dortmund, 3-1 di Signal Iduna Park awal pagi tadi, di mana Robert Lewandowski menjaringkan dua gol ke atas bekas kelabnya yang mengapit penyudah tenang Thomas Muller selepas Marco Reus menyamakan kedudukan.

Flick, yang kini merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Jerman, membawa Bayern memenangi dua gelaran Bundesliga selain masing-masing satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), DFB-Pokal, Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA -- termasuk Supercup -- sepanjang 18 bulan mengemudi pasukan itu dan dilihat menyaksikan kejayaan terbaru berkenaan dari tempat duduk penonton.

Buat Nagelsmann, ia merupakan julangan trofi pertamanya selaku jurulatih.
Bahkan, pengendali berusia 34 tahun itu hanya pernah melalui satu perlawanan akhir, di mana RB Leipzig tewas 1-4 kepada Borussia Dortmund pada Mei lalu.

Walaupun akhirnya dapat menjulang trofi pertamanya sebagai permulaan kukuh mengendalikan Bayern, Nagelsmann memilih untuk memberikan kredit itu kepada Flick dan barisan pemain mereka yang menjuarai Bundesliga buat kali kesembilan berturut-turut musim lalu.

"Kami sememangnya layak menang. Bukan mudah untuk menentang Dortmund berdasarkan kekuatan jentera serangan yang mereka ada," kata Nagelsmann kepada Sat.1.

"Kejayaan ini adalah satu ganjaran buat musim lalu kerana kami memenangi gelaran. Bukan saya tetapi Hansi Flick. kejayaan ini lebih dimiliki olehnya berbanding saya.

"Saya dipaksa pemain untuk menjulang trofi ini, mereka membantu saya mengangkatnya -- 'kini anda juga memilikinya'," katanya.

Ditanya mengenai kejayaan pertamanya itu dan keinginannya untuk memenangi lebih banyak gelaran selepas ini, Nagelsmann menambah: "Semua orang sedar akan makna kejayaan ini, termasuk buat saya dan bilik persalinan.

"Di Bayern, terdapat tekanannya, anda perlu memenangi perlawanan dan memenangi gelaran, jadi ia amat penting."