Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA), Khamal Idris Ali, menegaskan pihak pengurusan kelab masih berbelanja mengikut kemampuan.

Barisan baru skuad Hijau Kuning secara rasmi diperkenalkan hari ini bagi membawa cabaran dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Antara yang mencuri tumpuan sudah semestinya kemasukan bekas tonggak import Sri Pahang, Manuel Hidalgo, yang turut dikaitkan dengan beberapa kelab sebelum ini.

"Saya tidak nampaklah kami berbelanja besar dan lebih kurang tahun lalu.

"Kalau ada perbelanjaan pun disebabkan kami ada satu pasukan tambahan iaitu remaja.

"Saya rasa tiada masalah sebab tiada banyak beza dengan perbelanjaan tahun lalu.

"Pertukaran dan nilai pemain yang kami perbetulkan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Khamal Idris turut berharap agar penyokong terus memberikan sokongan buat ketua jurulatih, Nafuzi Zain, dan pasukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Sang Kenari.

"Saya harap peminat bersabar dan cuba turun ke padang sebagai pemain ke-12.

"Bagi sokongan dan semangat, secara tidak langsung kami dapat capai awal disebabkan sokongan peminat.

"Dalam waktu yang sama, kita jangan berharap lebih-lebih. Tapi sokongan itu penting, penuhkan ke stadium, bantu kami jana kewangan agar kami dapat berbelanja dengan baik," katanya lagi.