Jack Grealish mengakui dirinya masih belum mencapai tahap kecergasan terbaiknya dan yakin sedang meniti landasan tepat untuk membintangi Manchester City dan England dalam Piala Dunia Qatar.

Grealish terus bergelut untuk menjelmakan prestasi sebenarnya -- sejak perpindahan lumayannya daripada Aston Villa yang berharga £100 juta (RM520.6j) musim lalu -- apabila belum cukup menyumbang di sepertiga akhir kawasan lawan.

Ia mengundang pengurus The Citizen, Pep Guardiola, membela anak buahnya itu apabila menegaskan pemain tengah tersebut kurang mendapat sokongan rakan sepasukan.

Grealish akhirnya menemui sentuhan penyudah ketika gawang Wolves dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu, apabila menyambut hantaran Kevin De Bruyne tatkala permainan baru berusia 55 saat dalam kemenangan 3-1 itu.

"Saya masih tidak berasa 100 peratus tetapi saya fikir musim ini termasuk pra-musim, saya hanya bermain kira-kira lima perlawanan dan satu perlawanan penuh," katanya.




"Saya masih belum berasa cergas sepenuhnya tetapi semoga ia akan meningkat apabila saya terbabit dalam lebih banyak perlawanan.

"Saya sepatutnya menjaringkan gol dan mencipta lebih banyak bantuan jaringan.

"Yuran perpindahan saya akan sentiasa menjadi perbualan ramai tetapi ia adalah elemen yang mahu ditambahkan dalam permainan saya dan pasukan ini.

"Saya mahu melakukannya di depan peminat, semoga saya mampu."