EVERTON 0 LIVERPOOL 0

Jurgen Klopp mengisytiharkan Liverpool telah melakukan segala yang mereka terdaya untuk memenangi 'derby' Merseyside, malam tadi, tetapi kecemerlangan Jordan Pickford menidakkan kemenangan mereka di Goodison Park.


Pengurus The Reds itu menjadi saksi barisannya meraih keputusan seri 0-0 selepas penjaga gol England tersebut tangkas menangkis percubaan berbahaya Liverpool untuk akur berkongsi satu mata Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ia hampir menyamai drama jaringan masa kecederaan Fabio Carvalho ketika memastikan kemenangan ke atas Newcastle United, kelmarin.

Kali ini Pickford menjamin kekebalan tuan rumah selepas 90 minit permainan apabila menguis sepakan Mohamed Salah ke penjuru tiang kanan.

Klopp berkata: "Ia adalah derby sebenar, sangat sengit dan begitu banyak detik yang sangat menakjubkan."

Everton menyangka mereka telah memiliki kelebihan dalam separuh masa kedua apabila sentuhan bekas pemain akademi Liverpool, Conor Coady, menggegar jaring pelawat sebelum video bantuan pengadil (VAR) mengesan bahawa dia terlebih dahulu dalam kedudukan ofsaid sebelum jaringan jarak dekat itu dilakukan.

"Saya tidak melihat rakamannya tetapi saya fikir jika mereka menontonnya cukup lama ia mungkin ofsaid," katanya lagi.



Dia turut memuji penyelamatan sensasi daripada Alisson Becker yang menafikan sepakan mengelirukan Neal Maupay dalam babak kedua, tetapi Pickford jelas membintangi pertemuan tadi.

"Kami terkena tiang tiga kali dan beberapa aksi menyelamat yang sukar dipercayai oleh Pickford. Wow. Apa yang boleh anda lakukan," katanya kepada BT Sport.

"Kami perlu mengasak bertubi-tubi, itulah yang kami lakukan. Pada akhirnya ia adalah sia-sia dan ia kedengaran pelik, tetapi itu sahaja."

Ini perlawanan liga ke-25 mereka sejak awal tahun ini dan Liverpool melancarkan 23 percubaan berbanding 14 oleh Everton, tetapi masih majal buat julung kalinya pada tahun ini sejak kekalahan 0-1 di Leicester pada Disember lalu.

“Ia adalah minggu yang sangat perit buat kami,” katanya.

“Kelmarin kami mengharungi perlawanan yang sangat sukar dan terpaksa beraksi dan beberapa hari kemudian perlu bermain di sini pula.

"Saya tidak pasti berapa banyak derby yang telah saya harungi tetapi ia sentiasa sukar dan hari ini juga sukar."