JUVENTUS 2 CAGLIARI 0

Federico Bernardeschi memainkan peranannya dalam menghasilkan kedua-dua gol Juventus ketika menewaskan Cagliari 2-0, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah pasukan itu kepada lima perlawanan Serie A berturut-turut dan menghampiri kelompok empat teratas.

Skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu menewaskan Cagliari dalam sembilan daripada 10 pertemuan lalu tetapi gagal mempamerkan penguasaan dan hampir berputih mata sebelum memastikan kemenangan pada lewat permainan.

Selepas hampir membuka jaringan menerusi tandukannya yang menyinggahi tiang gol, Moise Kean kemudian menjaringkan gol pertama Juve pada lima minit terakhir babak pertama dalam aksi penutup pasukan itu bagi tahun 2021.

Juve berdepan beberapa ancaman lawan dalam babak kedua sebelum Bernadeschi, yang menjadi pencetus kepada jaringan pembukaan Kean, memastikan kemenangan pasukannya pada minit ke-83 -- pemain sayap itu menyudahkan satu serangan balas pantas untuk menamatkan kemarau jaringan selama 513 hari dalam Serie A.

Kemenangan itu turut menyaksikan Bianconeri kini hanya dibezakan empat mata dengan pasukan di tangga keempat, Atalanta, yang terikat 0-0 dengan Genoa dalam satu lagi perlawanan.