Penyerang Perancis, Karim Benzema, yang terlepas perlawanan sejak tiga setengah minggu lalu, dijangka dapat dipertaruhkan Real Madrid, hujung minggu ini, apabila mengakui dia kini berasa di tahap yang lebih baik apabila berkesempatan menjalani latihan 'pra-musim.'

Dia kembali menggunakan bola dalam sesi latihan malam tadi dan dijangka cergas sepenuhnya untuk menentang Real Osasuna, Isnin ini selepas tercedera ketika bertemu Celtic dalam Liga Juara-Juara (UCL) sambil menganggap permulaan lembabnya musim ini adalah disebabkan tidak berkesempatan menjalani persiapan sempurna pada musim panas lalu.




“Saya gembira dapat kembali ke pangkuan pasukan. Saya telah meluangkan masa untuk menjalani latihan seperti pra-musim.

"Saya berasa dalam keadaan yang sangat bagus, selesa. Saya tidak sabar untuk beraksi," katanya kepada Diario AS.

Bagaimanapun, skuad Los Blancos terpaksa melupakan khidmat Luka Modric yang mengalami kecederaan ketika bersama Croatia dalam jendela antarabangsa.