Bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei, menyifatkan penampilan kompetitif pertamanya sejak 14 bulan lalu dalam Kejohanan Masters Orleans di Perancis bulan lalu seperti kelahiran semula buat kariernya.

Meskipun tersingkir dalam pusingan ketiga, perseorangan wanita negara itu, yang pernah menjalani pembedahan membuang sebahagian usus besarnya pada 2019, berkeyakinan bahawa dia sudah tidak mempunyai sebarang keraguan untuk kembali ke prestasi sebenar, sekali gus kembali menjadi permata dalam skuad kebangsaan.

Motivasinya juga semakin tinggi selepas melihat rakan karibnya, Lee Zii Jia, muncul juara acara perseorangan lelaki Kejohanan Seluruh England bulan lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, Jin Wei berkata: "Saya berasa agak kekok. Walaupun ada bermain dalam latihan tetapi ia memang berbeza sewaktu dalam kejohanan.

"Saya fikir ia permulaan yang baik kerana saya dapat tahu apa yang perlu diperbaiki selepas ini.

"Sewaktu dalam perlawanan terakhir, saya dapat menyedari banyak perkara seperti rentak permainan dan sebagainya.

"Sekurang-kurangnya saya sudah tahu jurang di antara saya dan pemain lawan.

"Ia satu perlawanan yang memberikan saya banyak pengajaran," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Zii Jia, dia menambah: "Ketika dia muncul juara, ramai yang menghubungi saya seperti saya pula yang memenangi Seluruh England.

"Tetapi tahniah buatnya kerana saya fikir dia layak untuk mendapatkannya.

"Selepas Terbuka Thailand, dia memang hilang semangat.

"Apabila melihatnya, saya berasakan tidak mustahil (untuk saya juga melakukannya), jadi saya akan terus berjuang kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku akan datang.

"Saya pasti dapat kembali (ke prestasi terbaik) jika saya terus berusaha keras untuk mendapatkannya," katanya lagi.