Juventus membatalkan hasrat untuk meminang Anthony Martial daripada Manchester United selepas tidak bersetuju dengan tanda harga yang diletakkan ke atas pemain Perancis itu.

Ketua Eksekutif Juventus, Maurizio Arrivabene, berkata kos perpindahan yang akan melibatkan penyerang itu adalah tidak masuk akal terutama bagi seseorang yang bukan pemain utama.

Tiada kelibat Martial ketika United seri 2-2 dengan Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin dan pengurus sementara, Ralf Rangnick, mendedahkan pemain itu sendiri yang tidak mahu ikut serta.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu menafikan perkara berkenaan sambil berkata situasi tersebut telah dijernihkan.

Bekas pemain Monaco berkenaan telah menyumbangkan 79 gol sejak penampilan pertamanya di United pada September 2015 -– hanya Marcus Rashford (91) yang meledak lebih banyak gol daripadanya sepanjang tempoh itu.

Tetapi Martial hanya diberi peluang selama 358 minit dalam pasukan utama musim ini dengan hanya sekali menemui sentuhan penyudah, maka tidak hairanlah dia yang memiliki kontrak hingga 2024 dikaitkan bakal angkat kaki pada bulan ini.

Juventus antara kelab yang dikaitkan dengannya tetapi Arrivabene memberitahu Sport Mediaset: "Sama sekali tidak dengan angka tawaran sebegitu. Kami tidak perlu menunggu mereka untuk menurunkan harga, kami tidak akan menunggunya sama sekali. Kami tidak lagi bercakap mengenainya."



Kegusaran utama Bianconeri ketika ini seharusnya terarah kepada situasi kontrak penyerang Argentina, Paulo Dybala, yang akan berakhir tidak lama lagi, tetapi mereka tetap tenang dan sedia menunggu hingga ke bulan depan untuk memuktamadkannya.

"Kami akan membincangkannya pada bulan depan," kata Arrivabene.

"Bukan sahaja Dybala, ia termasuklah Juan Cuadrado, Mattia Perin, Federico Bernardeschi yang merupakan juara Eropah dan Mattia De Sciglio."

Kelab Serie A itu yakin pemain sebegitu tidak akan membuat perjanjian pra-kontrak dengan kelab lain.

“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemain,” katanya lagi.

"Mereka sangat rapat dengan Juve. Kami telah berbincang dan telah menetapkan temu janji pada bulan depan.

"Kami akan melakukan apa yang perlu, kami melakukan dengan tenang."