BOLOGNA 0 JUVENTUS 2

Massimiliano Allegri gembira dengan kemajuan yang ditonjolkan Juventus selepas mencapai kemenangan 2-0 ke atas Bologna di Stadio Renato Dall'Ara, awal pagi tadi.


Bianconeri diikat 1-1 oleh Venezia dalam perlawanan terakhir Serie A tetapi kali ini mereka merangkul mata penuh ke atas pasukan bimbingan Sinisa Mihajlovic itu hasil jaringan Alvaro Morata dan Juan Cuadrado dalam setiap babak.

Juve merekodkan lima perlawanan tanpa dibolosi dalam Serie A sejak November lalu -– setanding dengan Inter untuk pencapaian dalam lima liga teratas Eropah sepanjang tempoh itu.

Mereka mempamerkan peningkatan ketara berbanding penampilan di Venezia, justeru Allegri menuntut lebih banyak lagi daripada anak buahnya yang berada di tangga keenam dalam usaha mereka untuk mendaki kedudukan liga.

"Semua pemain bekerjasama ketika bertahan, itulah yang sepatutnya," katanya kepada DAZN.





“Berbanding ketika menghadapi Venezia, kali ini kami mempunyai sikap yang lebih baik sejak awal permainan tetapi kami perlu melakukan lebih banyak lagi di bahagian hadapan.

"Bologna memiliki banyak kualiti jadi sudah tentu mereka akan mempunyai beberapa peluang. Kami melakukannya dengan baik di sini tetapi tidak boleh mengendurkan permainan kerana masih terdapat banyak pertembungan getir pada bulan depan sebelum kempen Liga Juara-Juara (UCL) bersambung.

"Ia adalah satu keputusan yang baik untuk memastikan kami terus menghambat tempat keempat, tetapi kami tidak perlu mengendurkan permainan kami. Ia adalah satu perjalanan yang panjang menerusi gabungan ramai pemain muda dan tidak berpengalaman. Kami sedar sejak dari awal lagi bahawa bukan mudah untuk menamatkan kempen ini dalam misi meraih kedudukan empat tangga teratas atau cabaran merebut Scudetto.

"Kami mempunyai satu perlawanan lagi pada 2021, kemudian kami menantikan pertembungan menarik pada bulan depan."