RB SALZBURG 1 LIVERPOOL 0

Roberto Firmino dilaporkan makin hampir berkelana ke Itali selepas Juventus menamatkan usaha mereka memancing penyerang Liga Perdana Inggeris (EPL), Anthony Martial dan Timo Werner.


Peluang Firmino membarisi skuad utama di Anfield makin tipis susulan ketibaan Diogo Jota dan Luis Diaz pada musim lalu.

Sekalipun Sadio Mane turut berhijrah pada musim panas ini, ketibaan Darwin Nunez bermakna tonggak Brazil itu akan bergelut untuk mendapatkan minit permainan bagi mengukuhkan tempatnya ke Piala Dunia Qatar, November depan.

Media Itali, Corriere dello Sport, melaporkan Juventus akan mengambil kesempatan daripada situasi itu dan makin hampir dengan memuktamadkan perjanjian bernilai £19 juta (RM102.9j) untuk sentuhan pemain berusia 30 tahun tersebut yang hanya mempunyai baki kontrak setahun lagi sejak tiba dari Hoffenheim pada 2015.

Firmino beraksi sebagai pemain gantian dalam kekalahan kepada RB Salzburg menerusi jaringan Benjamin Sesko di Austria, awal pagi tadi.