Situasi Jurgen Klopp langsung tidak mengundang simpati buat Sean Dyche menjelang perlawanan 'derby' Merseyside di antara Liverpool dan Everton, awal pagi Selasa ini.

Ia merupakan perlawanan kedua membabitkan Dyche mengemudi skuad The Toffees itu yang sedang bergelut.

Everton menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, di Goodison Park minggu lalu yang merupakan kemenangan kompetitif pertama mereka sejak 22 Oktober, tetapi mereka masih kekal dalam zon penyingkiran.

Sementara itu, Liverpool hanya menang sekali daripada tujuh perlawanan terakhir termasuk tewas 0-3 kepada kelab di zon penyingkiran iaitu Wolves.

Ditanya adakah dia bersimpati dengan Klopp, Dyche berkata: "Fokus saya adalah kepada Everton, sebab itulah yang saya telah dibawa ke sini -- Saya perlu pastikan fokus kami bukan pergi ke arah lain," katanya dalam sidang akhbar.



"Tiada simpati dalam bola sepak. Saya boleh berempati. Saya memahaminya. Dia pastinya enggan atau tidak memerlukan simpati saya. Percayalah cakap saya.

“Seseorang yang berpengalaman sepertinya dan atas apa yang dilakukannya dalam bidang ini, jelaslah dia tidak memerlukan simpati daripada sesiapa.



"Sebagai pengurus anda boleh berempati, memahami peranan masing-masing. Tidak kira di tahap mana pun anda berada, anda dapat menyelaminya kerana ia adalah kerja yang sangat sukar.

"Ada persefahaman, perasaan yang dikongsi bersama. Saya sendiri pernah melaluinya apabila perkara tidak selalu berjalan seperti yang dirancang. Tetapi dia tidak memerlukan simpati saya."