Jurgen Klopp mempertahankan dirinya daripada kritikan di sebalik musim sukar mengemudi Liverpool apabila menegaskan dia tidak akan menjadi pengurus yang buruk selepas hanya semalaman.

Liverpool berada di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan ketinggalan 21 mata dengan pendahulu, Arsenal, sementara 10 mata dijurangkan dengan kelab di tangga keempat, Manchester United.

Ia satu prestasi yang jauh berbeza berbanding musim lalu apabila mereka memasuki minggu-minggu terakhir kempen dengan berpeluang menggondol keempat-empat trofi rebutan.

Kempen mereka berakhir dengan gelaran berganda hasil kejayaan dalam Piala FA dan Piala EFL, tetapi dikecewakan oleh Manchester City dalam EPL selain Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara.

Liverpool terjejas teruk akibat krisis kecederaan sepanjang musim ini manakala beberapa pemain utama bergelut untuk menampilkan prestasi cemerlang.

Kritikan itu banyak terarah kepada Klopp tetapi menjelang pertembungan pusingan keempat Piala FA Inggeris dengan Brighton & Hove Albion, malam ini, Klopp berkata: “Saya tidak akan bertukar menjadi pengurus yang buruk selepas semalaman,” katanya kepada pemberita.

"Saya tidak pernah menjadi sebaik yang orang mungkin pernah katakan mahupun bukanlah seburuk yang difikirkan oleh sesetengah orang.

“Tetapi bayangkan jika anda (media) berada di sini hari ini dan bercakap dengan pengurus Liverpool yang berbeza selepas kami memenangi keempat-empat trofi musim lalu sedangkan saya pula berkata, 'Jumpa lagi, saya mahu pergi bercuti!’.





"Bayangkan jika kemudian anda akan berdepan pengurus yang berbeza dan dia perlu menjelaskan perkara ini serta menjelaskan kepada anda bagaimana situasinya. Padahal tiada siapa yang ingin mendengarnya!

"Mereka akan mengatakan musim lalu adalah hebat dan tahun ini tidak hebat, jadi sila angkat kaki!

"Anda perlu kental untuk menerima hakikatnya. Ia sesuatu yang sukar, saya minta maaf tetapi kami akan melakukannya melalui segala kapasiti yang kami ada untuk keluar daripada kemelut ini, kemudian menyajikan persembahan menarik bagi membuatkan penyokong teruja untuk pergi ke stadium semula.

"Semoga kami dapat mengharungi kemelut ini bersama-sama dan hubungan kami menjadi lebih rapat lagi. Dari situ kita semua tahu apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Setakat ini, kami tidak banyak menawarkan permainan menarik buat peminat musim ini tetapi kami masih dalam dua pertandingan merebut piala dan kami tidak akan berputus asa dalam liga.

"Pasukan lain beraksi dengan sangat baik dan kami amat menghormati mereka, tetapi kami mahu menewaskan mereka dan saya akan melihat sejauh mana kemampuan kami untuk menjayakannya di Brighton."