Jules Kounde menyematkan prinsip 'tanpa had' di Barcelona sebaik melengkapkan perpindahannya dari Sevilla, sambil mendedahkan sambutan golnya merupakan satu penghormatan buat legenda bola keranjang, Kobe Bryant.

Pemain antarabangsa Perancis itu mengesahkan perpindahan ke Camp Nou malam tadi biarpun sering dikaitkan dengan Chelsea untuk menjadi nama besar terbaru yang direkrut skuad kendalian Xavi.

Kounde tiba di Catalan bagi mengikuti jejak Robert Lewandowski, Raphinha, Andreas Christensen dan Franck Kessie.

Tetapi di sebalik persaingan sengit merebut tempat yang bakal dihadapi pertahanan tengah itu, dia berhasrat untuk tidak menetapkan sebarang had ke atas dirinya selain berazam untuk bersaing disamping yang terbaik bagi membuktikan keupayaannya.

"Saya cukup berbangga, amat berterima kasih atas peluang ini," katanya.

“Saya sangat teruja kerana saya tiba di kelab hebat dengan pasukan yang hebat.

“Sevilla adalah kelab yang hebat tetapi saya fikir Barca adalah langkah seterusnya dalam karier saya di setiap peringkat, secara peribadi dan daripada segi bola sepak, jadi saya sangat teruja dengan hal ini.




“Saya mahu bersaing untuk menang dalam setiap pertandingan, mencuba dan menang sebanyak mungkin trofi dan perlawanan -– itulah sebabnya saya di sini.

"Sudah tentu saya mempunyai objektif tetapi saya tidak menetapkan had. Saya mahu maju sebagai sebuah pasukan dan secara individu saya mahu berkembang serta belajar.

"Ini adalah kelab dengan pemain yang hebat. Ramai daripada mereka pernah memenangi trofi sebelum ini, jadi saya akan mendengar dan belajar serta melakukan yang terbaik."