Barcelona mengesahkan Jules Kounde dan Eric Garcia mengalami masalah paha dan pinggul dalam kemenangan The Blaugrana ke atas Valencia.

Robert Lewandowski menyumbat gol tunggal perlawanan dalam masa kecederaan di Mestalla semalam untuk Barca kembali di landasan kemenangan LaLiga selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) pertengahan minggu lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pertahanan tengah itu gagal menyudahkan permainan apabila Garcia dikeluarkan pada minit ke-42 sementara Kounde pada minit ke-74.

Kounde, yang dipancing daripada Sevilla, memulakan karier Barca dengan perlahan berikutan baru kembali daripada masalah hamstring yang dialaminya ketika tugasan antarabangsa bersama Perancis bulan lalu.



Barca kemudian mengumumkan bahawa Kounde mengalami ketegangan paha kiri, manakala pertahanan Sepanyol, Garcia –- yang berharap sempat cergas menjelang Piala Dunia –- menderita kecederaan di pinggul kirinya.

Tiada tempoh tepat untuk pemulihan kedua-duanya biarpun kelab itu menjelaskan bahawa kedua-dua isu tersebut bukannya serius.

Kedua-dua pemain itu juga tidak akan beraksi menentang Viktoria Plzen dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan UCL 2022, awal pagi Rabu ini.