Luka Jovic melabel Cristiano Ronaldo sebegai pemain 'terhebat sepanjang zaman" dan berharap dapat mengikut jejak bintang Portugal itu mencipta kejayaan di Itali selepas meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Fiorentina.

Ronaldo menamatkan tempoh sembilan tahun bersama Madrid untuk menyertai Juventus pada 2018, di mana dia kemudian memenangi dua gelaran Serie A sepanjang tiga musim sebelum kembali menyertai Manchester United menjelang kempen 2021-22.

Jovic menempa laluan sama apabila meninggalkan ibu kota Sepanyol itu untuk menyertai Fiorentina dengan kontrak dua tahun.

Ketika Ronaldo meninggalkan LaLiga selepas menjadi fenomena bersama Los Blancos, pemergian Jovic pula adalah selepas tempoh hambarnya, di mana dia hanya menjaringkan tiga gol daripada 36 penampilan liga.

"Saya terinspirasi dengan Ronaldo, dia pemain terhebat sepanjang zaman dan saya berharap akan dapat melakukan apa yang telah dilakukannya di Itali," kata Jovic kepada wartawan.

Jovic akan mengenakan jersi nombor tujuh di Fiorentina, yang merupakan nombor yang cukup sinonim dengan Ronaldo, dan walaupun dia memilih nombor itu kerana "satu-satunya nombor bersesuaian yang tinggal", dia percaya sistem berbeza yang dimiliki Viola akan membantunya meningkatkan prestasi.

"Saya tidak pernah bermain dalam kejohanan ini tetapi saya mempunyai pengalaman di Eropah dan saya fikir kami mempunyai kualiti untuk pergi jauh.

"Saya sentiasa beraksi lebih baik dengan dua penyerang tetapi sewaktu di (Eintracht) Frankfurt, kami bermain dengan tiga penyerang dan di Madrid pula dengan satu penyerang. Saya hanya katakan yang saya perlu membantu, selebihnya adalah tugas jurulatih.

"Saya sudah berlatih sepanjang musim panas ini dan saya fikir saya hadir ke sini dengan cukup cergas -- hanya ada sedikit masalah betis yang tidak mengganggu saya," tambahnya.