Penyerang Liverpool, Diogo Jota, telah dihantar pulang ke kelabnya selepas mengalami kecederaan dan terlepas perlawanan Portugal menentang Luxembourg dalam aksi Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

Jota menjaringkan gol dalam perlawanan terdahulu bersama negaranya -- gol ketiga ketika menewaskan Azerbaijan 3-0 minggu lalu -- tetapi ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, kelihatan tidak terkesan dengan kehilangan itu berikutan kepulangan Cristiano Ronaldo -- yang menjaringkan hatrik sewaktu kemenangan 5-0 ke atas Luxembourg -- ke dalam pasukannya.

Pemain berusia 24 tahun itu menikmati permulaan musim ini bersama Liverpool, di mana dia menjaringkan tiga gol daripada tujuh penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- hanya Mohamed Salah (enam) dan Sadio Mane (empat) memiliki rekod lebih baik buat The Reds.

Masih belum ada kepastian mengenai tahap kecederaan Jota dan tempoh yang diperlukan bagi pemulihannya, di mana Liverpool akan bertandang ke laman Watford pada 16 Oktober ini sebelum berkunjung ke gelanggang Atletico Madrid bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga hari kemudian.

Dengan ketiadaan Jota, ia dilihat akan memberi ruang buat Roberto Firmino kembali ke dalam kesebelasan utama Liverpool.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan The Reds menentang Norwich City, hanya memulakan permainan sebanyak tiga kali dan melakukan dua percubaan dalam EPL musim ini.