ASTON VILLA 1 CHELSEA 3

Romelu Lukaku menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak September lalu dan Jorginho pula menyudahkan dua sepakan penalti untuk Chelsea menewaskan Aston Villa 3-1 di Villa Park awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu ketinggalan gara-gara jaringan sendiri Reece James pada minit ke-28 tetapi menyamakan kedudukan hasil jaringan penalti Jorginho pada minit ke-34.

Pemain gantian yang dimasukkan dalam babak kedua, Lukaku, kemudian menanduk masuk gol pendahuluan Chelsea menerusi gol pertamanya sejak menjaringkan dua gol ke atas Villa di Stamford Bridge pada 11 September lalu sebelum Jorginho menyempurnakan satu lagi jaringan penalti dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Chelsea menyamai pungutan 41 mata dengan pasukan di tangga kedua, Liverpool, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, manakala Villa pula tergelincir ke tangga ke-11.