Jorginho sedang menarik minat banyak kelab tetapi akan kekal bersama Chelsea musim depan melainkan ada 'tawaran serius' yang dibentangkan, demikian kata ejen pemain tengah itu.

Pemain berusia 29 tahun itu telah menghabiskan tiga musim terakhirnya di Stamford Bridge dan mempunyai baki dua tahun dalam kontrak asalnya bersama juara Eropah berkenaan.

Bekas pemain Napoli itu menamatkan musim 2020-21 sebagai penjaring terbanyak Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tujuh gol walaupun kesemua jaringan itu daripada sepakan penalti.

Dia membawa rentak sama dalam saingan Euro 2020 dengan beraksi dalam kesemua perlawanan Itali sebelum menamatkan kempen itu selaku juara dengan menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Jorginho kerap dikaitkan dengan kepulangan ke Itali pada ketika gergasi Sepanyol, Barcelona, turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi wakil kepada pemain tengah kreatif itu, Joao Santos, menjangkakan Jorginho akan kekal di Chelsea.

"Dia masih memiliki kontrak dua tahun," kata Santos kepada Calciomercato.

"Ia terpulang kepada Chelsea. Terdapat Piala Dunia Kelab dan Piala Super Eropah musim depan. Sebagai pemain bola sepak, itu adalah sasaran yang penting.

"Tetapi pasaran perpindahan akan sentiasa menjadi pasaran perpindahan dan jika ada kelab utama yang tampil membentangkan tawaran serius kepada Chelsea, kami akan menilainya.

"Buat masa ini, Jorginho akan bermain untuk Chelsea musim depan," katanya.