Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, mengumumkan persaraan mengejut hari ini, kurang seminggu selepas dia dinobatkan sebagai sebahagian daripada skuad Piala Uber yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia.

Pemain berusia 21 tahun itu bergelut mendapatkan semula prestasi terbaiknya sejak menjalani pembedahan membuang sebahagian usus besarnya pada tahun 2019 kerana sakit perut yang berpanjangan.

"Jumlah ubat yang perlu saya ambil telah meningkat untuk membenarkan saya terus menjalani kehidupan setiap hari. Demi kesihatan saya sendiri, saya tidak mempunyai pilihan selain menamatkan kerjaya lebih awal.

"Saya berhenti dengan penuh penyesalan dan tidak mahu karier berakhir dengan sebegini. Tetapi saya percaya bahawa saya masih dapat unggul dalam bidang lain di masa depan, asalkan saya bersedia bekerja keras," katanya seperti dipetik The Star.



Jin Wei memuat naik video menerusi YouTube, menjelaskan keputusannya untuk meninggalkan badminton secara tiba-tiba.

Dicanang sebagai salah satu pemain muda yang paling berpotensi buat negara, Jin Wei mengumumkan persaraan setelah memenangi dua gelaran juara dunia pada tahun 2015 dan 2018.

Di peringkat senior, dia memenangi emas perseorangan wanita di Sukan SEA 2017 dan juga berjaya sebagai naib juara Masters Indonesia 2016 dan Terbuka Taiwan 2017.

Tahun ini, dia mara ke final Kejohanan Antarabangsa Sepanyol Jun lalu, di mana dia dikalahkan oleh rakan sepasukan, S. Kisona.

Persaraan Jin Wei hadir sebulan setelah bekas pemain beregu wanita negara, Chow Mei Kuan, juga memutuskan untuk menggantung raketnya.