Johor Darul Ta'zim (JDT) terus melebarkan kedudukan di puncak Liga Super susulan merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Sabah FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail, sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Selangor FC sebelum rehat antarabangsa, JDT turun di gelanggang keramat menerima kunjungan skuad Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Aksi agresif dipamerkan tuan rumah menyaksikan mereka tidak pernah kekurangan idea ketika menyerang, deretan percubaan demi percubaan membenarkan pemain JDT terus menyesuaikan diri dengan corak permainan Sabah.

Arif Aiman Md Hanapi membuka jaringan pada minit ke-20 apabila bijak menggelecek ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Sabah berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Gabriel Peres pada minit ke-37 gagal menguji penjaga gol Harimau Selatan, Syihan Azmi.

Dua minit kemudian, JDT menggandakan jaringan menerusi Juan Muniz, rembatan daripada luar kotak penalti sekali lagi menewaskan Khairul Fahmi.



Sabah berusaha untuk mengurangkan defisit jaringan, namun gerakan demi gerakan dibazirkan dengan sentuhan penyudah yang kurang cemerlang.

JDT melengkapkan kemenangan bergaya dengan penuh cemerlang apabila meledak gol ketiga perlawanan menerusi pemain gantian Syahmi Safari pada minit ke-81 dan Fernando Forestieri turut bertindak sebagai penjaring pada minit ke-89.

Kemenangan ini menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari mendahului Liga Super dengan 18 mata, berkelebihan lima mata ke atas Sabah di tempat kedua (13 mata).

Keputusan lain:

Penang FC 3 Perak FC 1

Terengganu FC 2 Kelantan United 1

KL City 1 Selangor FC 3