Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengakui berdepan kesukaran untuk membawa pemain menyertai pasukan Harimau Selatan itu pada permulaan penubuhan pada 2013.

Tunku Ismail berkata terdapat pemain yang tidak yakin untuk menyertai pasukan JDT selain risau akan berdepan beberapa masalah seperti tunggakan gaji pada ketika itu.

"Mula-mula dulu, tak ada orang nak masuk JDT kerana tidak ada keyakinan sebab mereka takut ini adalah hobi sementara dan selepas itu tak bayar gaji atau ada masalah pada masa akan datang.

"Jadi, susah juga nak meyakinkan pemain-pemain untuk masuk JDT pada mulanya," kata Tunku Ismail menerusi segmen Bekpes Hot di radio Hot FM pagi tadi.


Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menjelaskan tidak mempunyai pasukan pemantau dalam pemilihan pemain tempatan dan ia dilakukan sendiri olehnya dalam mengenal pasti pemain yang berkualiti.





"Untuk pemilihan pemain tempatan, saya tak pernah ada pasukan pemantau. Saya sendiri yang memilih. Jadi, daripada 2013 itu memang saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia.

"Tetapi, Alhamdulillah sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan ikuti pemain," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga turut mengakui hanya berpuas hati dengan prestasi ditampilkan JDT mulai tahun 2020 apabila pemain sudah mula mampu beradaptasi dengan falsafah pasukan.

Kredit: Sinar Harian