Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan berjaya 4-0 ke atas PJ City FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

JDT memulakan permainan mengorak langkah untuk memecah benteng pertahan skuad kendalian K. Devan.

Strategi bertahan PJ City kelihatan berkesan pada permulaan permainan sehingga minit ke-22, hantaran Leandro Velasquez berjaya disempurnakan oleh Bergson menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Berselang empat minit, giliran Fernando Forestieri untuk bertindak selaku pencetak jaringan, sepakan percuma yang cukup berkualiti menembusi gawang.

JDT terus melebarkan kedudukan dalam separuh masa kedua, gerakan yang disempurnakan Forestieri berjaya masuk ke dalam kotak penalti sebelum mencari Bergson untuk menyempurnakan gol kedua peribadi dalam perlawanan ini.

Malam yang cukup meriah buat JDT disempurnakan Forestieri pada minit ke-85 sekaligus membenarkan mereka kekal di puncak liga dengan 22 mata sementara berkelebihan satu perlawanan ke atas Sabah yang berada di tangga kedua dengan 19 mata.

Sabah terpaksa berkongsi mata apabila seri 1-1 dengan Selangor FC di Stadium MBPJ, sebentar tadi -- skuad Merah Kuning membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Caoin sebelum Saddil Ramdani menyamakan kedudukan pada minit ke-53.