JDT 3 SABAH 1
(JDT mara dengan agregat 4-1)

Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang menambah koleksi trofi keempat musim ini apabila muncul kelab pertama Liga Malaysia (Liga-M) yang mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 selepas menundukkan Sabah secara agregat 4-1, sebentar tadi.


Harimau Selatan mempamerkan prestasi mantap ketika menyingkirkan Rhinos 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri yang menyaksikan tandukan terbang penyerang Brazil, Bergson Da Silva, merobek pintu gol pelawat yang sebelum itu dikawal cemerlang oleh Damien Lim, secara tidak langsung menggandakan kedudukan selepas turun berbekalkan jaringan tunggal Arif Aiman Hanapi sebelum ini.

Harimau Selatan terus garang dan hanya memerlukan enam minit lagi untuk penyerang Argentina, Fernando Forestieri, melebarkan kedudukan mereka dalam separuh masa pertama.




Begitupun, selaku juara Liga Super dan Piala FA musim ini, JDT sama sekali tidak tergugat biarpun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengurangkan defisit jaringan menerusi perancang Jepun, Taiki Kagayama, dua minit sebaik permainan bersambung.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad, memadam segala sisa harapan pencabar itu dengan ledakan pada masa kecederaan untuk menuju ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mereka bakal berhitung dengan sama ada Terengganu atau Selangor yang akan berentap di Sultan Mizan Zainal Abidin bagi pertemuan kedua, malam esok.