Walaupun ketika ini demam Piala Dunia sudah bermula tapi peminat-peminat tempatan masih tidak melupakan saingan separuh akhir Piala Malaysia yang sudah hampir sampai ke kemuncaknya.

Ia boleh dilihat dalam pertemuan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah malam tadi apabila kehadiran ramai penyokong hadir di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus membuktikan bahawa mereka masih cintakan bola sepak Malaysia.

Itu yang disambut baik oleh setiap pemain kedua-dua pasukan di mana nereja menyajikan aksi yang menghiburkan.

Bagi anak didik Hector Bidoglio itu, kehadiran penyokong Harimau Selatan menyuntik semangat mereka untuk memberi aksi yang terbaik hingga berjaya membenam Sang Badak untuk melangkah ke perlawanan akhir untuk tahun kedua berturut-turut.




Sudah pastilah ia akan memberi kenangan manis kepada pemain-pemain selain menyuntik semangat mereka untuk membawa pulang Piala Malaysia ke selatan tanah air.

Namun, sebelum itu Harimau Selatan perlu menunggu sama ada juara 33 kali, Selangor, atau Terengganu yang akan menjadi lawan mereka dalam perlawanan akhir, Sabtu ini.




Bagi penulis, mana-mana pasukan yang akan JDT hadapi ia tidak akan menjadi masalah kepada mereka kerana anak didik Bidoglio itu mempunyai kekuatan tersendiri, namun mereka perlu kekalkan ketekalannya supaya tidak membuat kesilapan yang mudah sebagaimana jaringan tunggal Sang Badak di Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, barisan kejurulatihan JDT sudah boleh membuat analisis bagaimana untuk menyusun strategi dan persiapan mental bagi memastikan pemain-pemainnya lebih bersedia dalam final.

Jika ini dapat dilakukan, ia akan menampakkan perlawanan akhir ini akan menjadi lebih teruja untuk ditonton cuma Bidoglio perlu bijak dalam menyusun strategi jika Berson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi di kawal ketat.

Ini merupakan percaturan yang perlu dititikberatkan olehnya memandangkan pasukan yang akan dihadapi Harimau Selatan -- Selangor atau pun Terengganu juga licik dalam mencorak strategi dan formasi mereka.