BARCA 1 DYNAMO KIEV 0

Ronald Koeman menganggap masih banyak ruang yang perlu diperbaiki Ansu Fati dan tidak mengharapkan pemain muda itu mengisi kekosongan Lionel Messi sepenuhnya.


Pemain berusia 18 tahun itu telah memuktamadkan masa depan bersama Barca dengan menyetujui kontrak baru semalam.

Fati mewarisi jersi nombor 10 yang pernah disarung Messi yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) dan mula menjadi harapan besar buat Los Cules.

Begitupun, penyerang itu terlepas deretan ketika bertembung dengan Dynamo Kiev dalam Liga Juara-Juara (UCL) di tempat sendiri, awal pagi tadi, tetapi jaringan tunggal oleh Gerard Pique memastikan mereka meraih kemenangan pertama dalam kempen berkenaan.






Pemain antarabangsa Sepanyol itu secara keseluruhannya telah menyumbat 15 gol dalam 48 perlawanan untuk Barca, jumlah yang hanya dapat ditandingi oleh Luis Suarez (21), Antoine Griezmann (35) dan Messi (69) -- tiada seorang pun yang masih kekal di kelab berkenaan -- sejak dia melakukan penampilan pertamanya 26 bulan yang lalu.

Kembali cergas selepas hampir setahun dibelenggu kecederaan lutut, Koeman tidak mahu penyokong terbawa-bawa ketika melihat perkembangan anak buahnya itu.

"Peluang yang dilepaskan Ansu hari ini membuktikan bahawa dia masih kekurangan sesuatu. Dia perlu memperbaiki prestasinya," kata pengurus itu dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Ia lumrah. Dia baru berusia berusia 19 pada akhir bulan ini. Dia bukan harapan utama untuk menyelesaikan segala masalah kami mahupun meneruskan legasi Leo Messi. Tidak mungkin.

"Kami harus membantunya selangkah demi selangkah. Kami tidak dapat mengharapkan keajaiban, lebih-lebih lagi dia tercedera lama dan masih baru berusia 18 tahun."

Barca melancarkan 11 percubaan ke gawang Dynamo tetapi hanya tiga daripadanya menuju ke sasaran tetapi jaringan Pique itu ketika permainan berbaki 36 minit terbukti menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

"Saya gembira dengan persembahan kami tetapi tidak dengan ketajaman kami," katanya.

"Kami begitu unggul dan menciptakan peluang dalam perlawanan ini, kami seharusnya mendapat lebih banyak gol lagi.

"Jika tidak memiliki peluang, saya tidak akan membuat tuntutan tinggi terhadap tetapi mereka mampu menjelmakannya. Keputusan hari ini sepatutnya adalah 3-0 atau 4-0.

"Saya faham bahawa ramai yang kecewa kerana saya juga begitu. Kami telah mencapai keputusan yang dihajati tetapi dengan peluang yang diciptakan, kami seharusnya mencetak lebih banyak gol lagi."