Chris Waddle percaya 'memalukan' jika memberikan tumpuan kepada kegagalan England menerusi penentuan penalti.

Harapan England menamatkan kemarau 55 tahun untuk meraih kejuaraan utama lebur dalam final Euro 2020 apabila Itali menang menerusi penentuan penalti di Wembley.

The Three Lions memenangi perlawanan kejohanan utama menerusi penentuan penalti ke atas Colombia pada Piala Dunia 2018 kemudian mengatasi Switzerland dengan cara sama dalam saingan Liga Negara-Negara.

Pengurus England, Gareth Southgate, yang gagal membantu pasukan pada separuh akhir Euro 96 bertemu Jerman, telah berusaha sebaik mungkin memperbaiki persembahan pasukan sebelum ini.

Namun percubaan Marcus Rashford yang terkena tiang gol dan Gianluigi Donnarumma menafikan dua percubaan daripada Jadon Sancho dan Bukayo Saka menyaksikan England tewas tujuh daripada sembilan penentuan penalti dalam Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah.

Namun bagi bekas pemain sayap Newcastle United, Tottenham dan Marseille, Waddle, berkata dia menikmati pengalaman dan berasakan perhatian terlalu banyak diberikan kepada penentuan penalti.

Kylian Mbappe dan Alvaro Morata antara nama besar yang turut gagal menjaringkan penentuan penalti dalam Euro 2020, manakala hanya sembilan daripada 17 penalti berjaya disempurnakan sepanjang saingan kali ini.

"Bagi saya secara peribadi, ketika saya terlepas penalti, dan saya pasti Stuart Pearce mungkin dapat mengatakan hal yang sama, kami terus menjadi pemain yang lebih berkualiti," kata Waddle.

"Saya memenangi tiga gelaran Perancis, kembali ke England dan mara ke dua final bersama Sheffield Wednesday, hampir memenangi satu daripadanya. Saya meraih Pemain Terbaik Tahunan. Segalanya berjalan dengan baik.


"Saya pernah gagal menjaringkan penalti. Siapa tidak pernah?

"Anda boleh melihat kepada pemain-pemain lain. Saya tidak berasakan mana-mana pemain yang memiliki rekod bersih dalam penalti.

"Secara keseluruhannya, pemain terbaik dunia juga turut mengalami perkara yang sama."