David James sukar menentukan siapakah lebih tangkas di antara penjaga gol Manchester City dan Liverpool, Ederson dan Alisson Becker, sebagai benteng akhir.

Duo Brazil itu akan bertembung ketika Manchester City melayani kunjungan Liverpool dalam perlawanan getir Ahad ini yang boleh menentukan perebutan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kedua-dua penjaga gol itu adalah yang paling menonjol dalam kancah berkenaan dalam beberapa musim kebelakangan ini. Tatkala Ederson memiliki tiga kejuaraan liga di England, Alisson pula membantu Liverpool menjulang kejayaan liga dan Liga Juara-Juara.

Musim ini, kedua-dua penjaga gol telah beraksi di tahap yang sama tinggi. Alisson telah melakukan 60 penyelamatan dalam liga daripada 78 percubaan tepat dengan prestasi 76.9 peratus, manakala Ederson pula mematahkan 50 percubaan dan mencatat peratusan menyelamat setinggi 72.3 peratus.

Dengan jurang yang tidak begitu ketara, bekas penjaga gol utama England itu mengakui sukar untuk memilih mana satu penjaga gol yang lebih diminatinya.

"Kedua-duanya merupakan kegemaran saya dalam EPL," kata bekas penjaga gol Man City dan Liverpool itu kepada Stats Perform.

"Di luar padang sekalipun mereka adalah individu yang hebat. Saya mengagumi mereka daripada segi kesenian penjaga gol tetapi apabila anda mempunyai orang yang hebat melakukannya, maka ia memberi satu lagi kelebihan.

"Mereka juga berkawan rapat, itu yang menjadikannya bertambah menarik selain merupakan rakan sepasukan di peringkat antarabangsa dan di luar padang. Mereka saling bersaing dalam hampir setiap kejohanan."






Bagaimanapun, James percaya disebabkan gaya permainan Liverpool yang lebih terbuka, Alisson lebih kerap diuji.

"Sangat sukar untuk membuat pilihan berikutan ciri-ciri mereka yang berbeza," sambungnya.

“Apabila melihat Ederson, dia mampu menendang sejauh 90 meter dan bukan mudah untuk menendang sejauh 40 meter sekalipun, segala-galanya kini bermula di kawasan sendiri.

“Ia lebih kepada demonstrasi penguasaan City dan kerana itu khidmatnya tidak begitu banyak diperlukan.

"Allison pula diberi kebebasan untuk mencipta umpanan tetapi sering diuji walaupun dalam perlawanan hujung minggu,

"Statistik mengatakan Allison lebih banyak melakukan penyelamatan dalam dua bulan terakhir ini tetapi Ederson mungkin perlu bertindak sekali sahaja dalam sebuah perlawanan.

"Jadi Allison seperti mendahului ketika ini kerana dia lebih banyak menyelamatkan pintu golnya tetapi saya tidak mahu memilih sebarang pemain kegemaran."