Bekas bintang Arsenal dan England, Jack Wilshere, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 30 tahun.

Wilshere berkata minggu ini dia sedang mempertimbangkan pilihannya selepas berpisah dengan pasukan Superliga Denmark, AGF, setelah menghabiskan masa kurang lima bulan bersama kelab itu.

Pemain tengah itu menghabiskan 10 musim bersama Arsenal melalui sistem belia pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dan dilaporkan bersedia untuk menyertai semula mereka sebagai jurulatih remaja.

Dia memenangi dua Piala FA bersama The Gunners selain dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik PFA serta menerima anugerah pemain terbaik musim kelab itu susulan kempen hebat 2010-11.

Selepas meninggalkan Arsenal pada 2018, Wilshere mewakili West Ham dan Bournemouth -- destinasi yang sebelum ini pernah dipinjamkan.




Dia juga 34 kali memperkuatkan England sepanjang enam tahun apabila beraksi dalam dua kejohanan utama termasuk Piala Dunia 2014.

Begitupun, Wilshere sering dibelenggu kecederaan dan akhirnya memutuskan dalam satu kenyataan bahawa dia berasakan sudah tiba masanya untuk menggantung but.

Pemain itu mengeluarkan satu siaran di media sosial yang disertai ucapan: "Saya telah menjalani impian saya. Terima kasih semua."

"Hari ini saya mengumumkan persaraan saya daripada bermain bola sepak profesional."

Dalam ucapan panjang lebar itu, dia sempat memuji Arsene Wenger, Pat Rice dan Boro Primorac kerana membuka pintu hingga dia dapat menikmati bola sepak di peringkat tertinggi.