Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menghargai sokongan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) susulan keputusan penarikan diri persatuan itu daripada penganjuran dalam Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Sukma MSN 2022 digemparkan dengan tiga kes positif doping dalam kalangan atlet angkat berat sehingga PABM memilih untuk menarik diri daripada terlibat dengan temasya berkenaan.

Ia menyaksikan penganjuran sukan itu diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan walaupun keputusan PABM itu memacu polemik dalam kalangan penggiat sukan negara, Ayub, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, hari ini menyatakan penghargaan atas sokongan MOM terhadap tindakan itu.

"PABM menyambut baik sokongan dan dukungan daripada MOM atas apa yang telah PABM lakukan dengan penarikan diri daripada Sukma.

"Kerana saya yakin dan percaya, apabila ia berkaitan institusi dan persatuan, MOM lebih maklum dan faham.

"Lebih-lebih lagi dengan kenyataan berikut menyatakan persatuan sukan kebangsaan memiliki autoriti dalam menguruskan sukan-sukan di bawah bidang mereka.

"Dalam konteks ini, ia adalah PABM, maka sukan angkat berat tertakluk di bawah PABM itu sendiri, jadi terima kasih kepada MOM.

"Kami berharap bahawa ia akan menjadi satu pengajaran, bukan sahaja kepada MSN tetapi juga buat PABM sendiri.

"Kerana kita perlu akur dengan peraturan dan undang-undang.

"Dan sewajarnya apabila kita memiliki peraturan dan undang-undang, semua pihak harus menghormatinya," katanya.