Ireland Utara kembali melantik Michael O'Neill selaku pengurus dengan kontrak lima setengah tahun selepas pemecatan Ian Baraclough.

O'Neill membimbing Ireland Utara ke pusingan 16 Euro 2016 -- kejohanan pertama mereka sejak 30 tahun -- sewaktu tempoh pertamanya dari Disember 2011 hingga April 2020.

Pengendali berusia 53 tahun itu kemudian dipilih sebagai pengurus pasukan Liga Kejuaraan, Stoke City, pada November 2019 -- tugas yuang pada asalnya dibahagikan dengan Ireland utara -- sebelum meninggalkan pasukan itu pada Ogos lalu.

Dia kini kembali ke pasukan kebangsaan Ireland Utara, yang memecat Baraclough pada Oktober lalu selepas hanya memenangi empat daripada 22 perlawanan kompetitif.

"Saya amat gembira untuk menjadi pengurus skuad senior Ireland Utara," kata O'Neill dalam satu kenyataan.

"Saya amat teruja untuk melihat apa yang saya dapat capai dengan pemain-pemain ini dan tidak sabar untuk sekali lagi bertemu Green and White Army di Stadium Nasional."

Perlawanan pertama O'Neill adalah menentang San Marino pada 23 Mac depan, di mana Ireland Utara akan memulakan kempen kelayakan Euro 2024.