Kylian Mbappe masih mampu menunaikan impiannya untuk mewakili Real Madrid pada masa hadapan di sebalik memilih untuk kekal di Paris Saint-Germain (PSG) atas 'sebab politik', menurut bekas penyerang Los Blancos, Hugo Sanchez.

Penyerang Perancis itu dijangka menyertai Madrid secara percuma sebelum pemenang Piala Dunia 2018 tersebut memilih untuk menandatangani kontrak lanjutan tiga tahun bersama PSG bulan lalu.

Keputusan itu mengundang rasa tidak senang Presiden Madrid, Florentino Perez, yang memberitahu El Chiringuito khidmat penyerang berkenaan sudah dilupakan sejurus barisan kendalian Carlo Ancelotti tersebut memenangi gelaran Liga Juara-Juara (UCL) ke-14.

Presiden Laliga, Javier Tebas, turut mengadu perbelanjaan PSG kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) apabila menuduh kelab Paris itu akan memusnahkan ekosistem bola sepak Eropah.

Tetapi Sanchez -- yang menjaringkan 208 gol dalam 283 penampilan bersama Madrid di antara 1985 dan 1992 dengan memenangi lima kejuaraan LaLiga dan lima kali menamatkan saingan sebagai penjaring gol terbanyak liga, berpendapat Mbappe masih berkesempatan untuk tiba di Bernabeu pada masa hadapan.

"Sangat sukar untuk menjawab kerana saya tidak berada di dalam situasinya, di dalam fikirannya dan saya juga bukan dia," katanya kepada Marca.

“Tetapi saya rasa dia sebenar tidak berkata tidak kepada Real Madrid, sebaliknya memberi isyarat kepada Real Madrid untuk ‘tunggu saya sebentar’.




"Dia berdepan tekanan tinggi, begitu banyak faktor luaran dan mungkin juga ahli keluarga telah menekannya dan mempengaruhi keputusannya untuk tidak memilih Real Madrid. Adalah menjadi impiannya untuk menyertai Madrid, ia fantasinya, ia miliknya. Impian itu seperti yang dikatakannya, cuma perlu tunggu sebentar.

"Saya fikir dia menunjukkan tanda-tanda mahu pergi ke Real Madrid tetapi terhalang disebabkan isu politik, isu sosial dan isu ekonomi. Saya tidak fikir ia mengenai soal kewangan di Real Madrid kerana dia juga akan meraih banyak wang di PSG, jadi ia bukan kerana wang.

"Sebaliknya, dia bukanlah berkata tidak kepada Real Madrid tetapi 'Saya tidak boleh mengkhianati situasi lain yang lebih mustahak daripada wang'. Jadi kita perlu memahaminya."