GENOA 0 AC MILAN 3

Bintang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, mahu melanjutkan kesepakatannya bersama pasukan gergasi Serie A itu selepas jaringan terbarunya membantu pasukan berkenaan kekal bersaing dalam perebutan Scudetto musim ini.

Ibrahimovic membuka jaringan menerusi sepakan percuma gemilangnya ketika Milan menewaskan Genoa 3-0 awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Napoli, yang melepaskan kelebihan dua gol untuk terikat 2-2 dengan Sassuolo dalam satu lagi perlawanan.

Kemenangan itu merupakan pengubat duka buat Milan, di mana rekod tanpa kalah mereka dalam kejohanan domestik dicalarkan dengan dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga.

Ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli, menandatangani kontrak barunya bersama pasukan itu minggu lalu dan Ibrahimovic mahu menjadi individu seterusnya memeterai kesepakatan baru, di mana pemain veteran berusia 40 tahun itu menyasarkan untuk memenangi trofi bersama kelab berkenaan.

"Saya seronok, sebelum perlawanan ini, kami sudah menentukan berapa lama saya akan bermain," kata Ibrahimovic kepada Sky Sport Italia.

"Mereka di sini membuatkan saya berasa seronok dan muda.

"Kami melakukan kesilapan yang menghukum kami dalam dua perlawanan lalu. Ia memang salah kami, bukan disebabkan pasukan lawan, tetapi hari ini, kami menang dan masih berada di kelompok atasan.

"Sekarang, saya berharap dapat memperbaharui kontrak. Saya amat gembira buat Pioli kerana dia layak mendapatkan lanjutan kontrak. Jika dia kekal, saya juga mahu kekal. Pioli melakukan tugasnya dengan baik.

"Saya amat gembira untuk penyokong kami. Sudah sekian lama mereka tidak menikmatinya seperti hari ini.

"Saya mahu membuatkan mereka gembira tetapi jika kami tidak memenangi trofi, kami tidak dapat lakukan apa-apa untuk mereka," katanya.