Zlatan Ibrahimovic percaya bola sepak Perancis hancur tanpa kelibatnya sambil mengisytiharkan kehadiran Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi belum cukup.

Ibrahimovic menikmati tempoh yang sarat dengan trofi bersama Paris Saint-Germain (PSG) di antara 2012 dan 2016 dengan memenangi 12 gelaran domestik termasuk empat kejuaraan Ligue 1 berturut-turut.

Penyerang Sweden itu melakar 156 gol buat PSG yang rekod berkenaan hanya diungguli oleh Edinson Cavani (200) dan Mbappe (188).

Ibrahimovic, yang dijangka kembali memperkuatkan Milan pada 2023 selepas mengalami kecederaan ligamen lutut pada akhir musim lalu, percaya Ligue 1 menderita tanpa kehadirannya.

Bercakap kepada Canal+, Ibrahimovic berkata: "Sejak saya meninggalkan Perancis, segala-galanya roboh.




"Tiada lagi subjek yang menarik. Perancis perlukan saya, tetapi saya tidak perlukan Perancis.

"Walaupun anda mempunyai Mbappe, Neymar dan Messi, ia belum memadai kerana anda tidak mempunyai Tuhan."

Gandingan Mbappe (11), Neymar (10) dan Messi (tujuh) telah menjaringkan 28 gol liga musim ini, malah ketiga-tiga pemain itu menjaringkan gol dalam kemenangan dramatik 4-3 ke atas Troyes, kelmarin.