Roger Federer berkata dia telah melalui 'perjalanan menakjubkan' selepas perlawanan terakhir dalam karier sebagai pemain tenis berakhir dengan kekalahan ketika bergandingan dengan Rafael Nadal dalam acara beregu di Piala Laver awal pagi tadi.

Juara Grand Slam 20 kali, 41, dan Nadal, bermain untuk Pasukan Eropah, tewas 6-4, 6-7 (2-7), 9-11 menentang pemain Team World, Frances Tiafoe dan Jack Sock.

“Ia adalah hari yang indah,” kata bintang Switzerland itu, bermain buat kali pertama sejak Wimbledon 2021 kerana kecederaan lutut.

"Saya memberitahu mereka bahawa saya gembira, bukan sedih. Seronok berada di sini. Saya seronok menyarung kasut dan ke gelanggang, setiap perkara adalah kali terakhir.

“Saya tidak terlalu berasakan tekanan itu walaupun saya fikir mungkin ada sesuatu yang akan berlalu, kecederaan atau sebagainya, tetapi ia merupakan perlawanan yang hebat.

"Bermain dengan Rafa dan mempunyai ramai pemain hebat di sini, semua legenda, terima kasih."

Selepas senyap seketika di sekitar arena yang penuh sesak itu, penyokong akhirnya bersorak untuk memberi tabik hormat kepada Federer yang penuh emosi.