Perbincangan sedang giat dijalankan bagi membawa Martin Dubravka ke Manchester United, kata pengurus Newcastle United, Eddie Howe.

Dubravka menyertai Newcastle secara pinjaman daripada Sparta Prague pada Januari 2018 sebelum dia kemudian mengikat kontrak secara tetap.

Bagaimanapun, penjaga gol berpengalaman itu kian disisihkan di St James Park selepas ketibaan Nick Pope daripada Burnley menjelang musim ini.

Laporan mendapati pemain kebangsaan Slovakia itu semakin hampir ke Old Trafford -- mungkin secara pinjaman -- bagi meningkatkan persaingan buat David de Gea.

Howe memberikan gambaran jelas mengenai perkara itu dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Liverpool awal pagi esok dengan berkata kepada wartawan: "Perbincangan sedang diadakan kedua-dua kelab. Saya tidak fikir ada yang sudah dimuktamadkan kerana saya masih di sini.

"Daripada perspektif saya, saya berasa sedih kerana Martin akan pergi, sedih untuk melihatnya pergi.

"Ia bukanlah sesuatu yang kami mahukan tetapi kami faham akan sentiasa ada dua bahagian bagi satu cerita," katanya.

Dubravka setakat ini telah beraksi dalam 130 perlawanan buat Newcastle dan merekodkan 37 perlawanan tanpa bolos sepanjang tempoh itu.