Napoli terpaksa menghadapi perlawanan Serie A menentang Juventus di tempat lawan pada Jumaat ini tanpa khidmat Hirving Lozano selepas penyerang itu didapati positif jangkitan koronavirus.

Pemain berusia 26 tahun itu beraksi dalam kesemua 25 perlawanan Napoli musim ini, di mana 17 daripada sebagai kesebelasan utama, selain mendaftarkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan di bawah namanya.

Bagaimanapun, Napoli malam tadi mengumumkan dalam laman web rasmi mereka bahawa Lozano akan menjalani tempoh pengasingan selepas dijangkiti COVID-19 di Mexico.

Lozano, yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan telah lengkap divaksin, perlu mendapatkan dua keputusan negatif dalam ujian saringan sebelum dibenarkan untuk kembali ke Itali.

Ia merupakan satu lagi tamparan buat ketua jurulatih, Luciano Spalletti, selepas Lorenzo Insigne dan Fabian Ruiz turut dijangkiti virus berkenaan sepanjang seminggu lalu.

Napoli akan bertandang ke Stadium Allianz pada Jumaat ini bagi pertemuan di antara pasukan di tangga ketiga dan kelima Serie A itu.

Partenopei tergelincir daripada kedudukan teratas selepas hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan liga terakhir manakala Juventus pula telah meraih 13 mata daripada 15 yang ditawarkan sepanjang tempoh itu.