Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan dia tidak akan menyekat perpindahan Ferran Torres ke Barcelona sambil ​​berkata dia gembira buat penyerang itu.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu telah semakin hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Barca dengan bayaran awal sebanyak €55 juta (RM261.5j) dan sebanyak €10 juta (RM47.5j) lagi sebagai yuran tambahan.

Torres, yang tiba dari Valencia 18 bulan lalu telah membuat enam penampilan bersama City dengan meledak dua gol dan kelihatan berbisa pada permulaan musim ini.

Bagaimanapun, momentumnya terbantut selepas mengalami kecederaan kaki ketika beraksi dalam dalam Liga Negara-Negara (UNL) pada Oktober lalu.

Guardiola mengakui peluang untuk menyertai bekas kelabnya, Barcelona, sukar untuk ditolak oleh pemain senegaranya itu, tetapi dia menegaskan juara bertahan berkenaan tidak akan mencari pengganti untuk menampung kehilangan pemain berusia 21 tahun tersebut yang telah menyumbat 16 gol daripada 43 penampilan bersama kelab terbabit.

“Jika anda mahu angkat kaki kerana tidak gembira di sini dan percaya akan gembira di tempat lain, maka anda perlu pergi,” kata Guardiola.

"Kerjaya ini adalah singkat. Jika dia mahu pergi, saya sama sekali tidak kecewa. Saya tumpang gembira. .

"Saya mempunyai perasaan jika Barcelona dan Real Madrid mahukan seseorang pemain, adalah sukar untuk mengatakan tidak. Mereka adalah pasukan terhandal di dunia.

"Dia mengetuk pintu saya dan menyatakan hasratnya jadi saya berkata silakan. Saya tidak boleh menyekat atau meyakinkan pemain jika fikirannya berada di tempat lain.

"Tapi kami tidak akan membawa masuk penyerang lain pada Januari depan."




City akan menyambut Leicester City ke Stadium Etihad, Ahad ini, sempena 'Boxing Day'.

Malam tadi, dua perlawanan diumumkan bakal ditangguhkan selepas enam daripada 10 perlawanan liga hujung minggu lalu juga dibatalkan.

Pengelola liga mengesahkan kempen akan tetap diteruskan sepanjang tempoh perayaan Krismas selepas mesyuarat tergempar antara kelab-kelab utama diadakan awal minggu ini.

Permohonan untuk penangguhan kempen perlu dipertimbangkan berikutan lonjakan kes COVID-19 di negara itu termasuk dalam kalangan pasukan kebelakangan ini.

"Apa yang kami mahukan ialah orang ramai kekal selamat dan sihat, pastikan penjarakkan sosial dan memakai pelitup," tambahnya.

“Kebajikan pemain harus menjadi keutamaan.

"Kita hidup dalam keadaan istimewa dan tidak lagi boleh hidup bebas seperti dulu. Pandemik masih ada. Semua orang perlu cuba mematuhi peraturan sebaik yang mungkin.

"Apa yang diputuskan liga, kami akan sokong."