Kelab Liga Malaysia (Liga-M), Penang FC, mengambil pendekatan proaktif menyusun semula pasukan bagi memantapkan cabaran Harimau Kumbang dalam mengharungi saingan musim 2023.

Pengurusan kelab itu, dalam status terkini yang dimuat naik di laman Facebook Penang FC, berterima kasih kepada pemain yang telah berbakti kepada kelab berkenaan.

“Ahli Lembaga Pengarah Penang FC telah memutuskan untuk membawa haluan baharu Harimau Kumbang bagi musim 2023.

“Penang FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hafizul Hakim (Khairul Nizam Jothy), Rafiuddin Roddin, K. Thivendaran, Gopi Rizqi, Tam Sheang Tsung, Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew, Faizal Talib, Sukri Hamid, Azzizan Nordin, Ariff Ar-Rasyid (Ariffin), Syazwan Zaipol (Bahari) dan Daniel Ashraf (Abdullah) yangg bersama pasukan Penang sepanjang musim 2022.

“Terima kasih juga kepada pemain import Penang FC, Endrick Dos Santos Parafita, Lucas Espindola Da Silva, Christian Mangaron Rontini, Anselmo Arruda Da Silva (Casagrade) bagi musim 2022, segala pengorbanan dan usaha mereka pasti akan dikenang,” kata kelab itu dalam kenyataan berkenaan.

Skuad Haria Penang Haria mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan tercorot dalam kalangan 12 kelab bertanding.

Pasukan berkenaan mengumpulkan 11 mata - dua menang, lima seri dan 15 tewas -- selepas mengharungi 22 perlawanan Liga Super.

Bagi saingan Piala FA, cabaran Penang terhenti dalam separuh akhir apabila dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ogos lalu.

Bagi saingan Piala Malaysia pula, Penang sekadar berada dalam pusingan 16 sebelum dijinakkan kelab Liga Perdana, Kuching City FC, dengan keputusan agregat 4-3.


Kredit: Sinar Harian

Kredit foto: Penang Football Club