Sebastian Haller enggan dilabel sebagai "pengganti seseorang" selepas tiba mengambil posisi Erling Haaland di Borussia Dortmund.

Haaland meledak 86 gol dalam 89 penampilan sepanjang dua setengah tahun di Dortmund sebelum berpindah ke Manchester City bulan lalu.

Hanya Robert Lewandowski (123 dalam 108 perlawanan) dan Kylian Mbappe (93 dalam 111 perlawanan) melakar catatan lebih gemilang daripadanya musim lalu.

Dortmund bertindak pantas untuk menggantikan pemain antarabangsa Norway itu apabila memancing Haller daripada Ajax dengan bayaran €36 juta (RM161.8j) termasuk prospek menarik daripada RB Salzburg, Karim Adeyemi.

Haller muncul pemain sensasi Ajax sepanjang 18 bulan lalu termasuk 11 gol dalam hanya lapan penampilan Liga Juara-Juara (UCL) pada musim 2021-22.





Tetapi penyerang Ivory Coast itu pantas menolak perbandingan dengan Haaland sambil menegaskan dia tidak mahu dilihat sebagai pengganti penyerang prolifik tersebut.

"Saya tidak datang ke Borussia Dortmund sebagai pengganti seseorang tetapi kerana kelab memerlukan kualiti saya," katanya kepada pemberita di kem latihan Bad Ragaz Dortmund di Switzerland.

"Jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan keyakinan itu. Saya sedar bahawa BVB telah lama berminat dengan sentuhan, maksud saya pada musim lalu.

"Wujud perbezaan besar di antara minat dan yuran perpindahan. Apabila ia menjadi kenyataan, saya berasakan Dortmund adalah pilihan yang sangat baik untuk saya. Akhirnya, ia juga pastinya bukan satu perjanjian yang buruk buat Ajax."