Erling Haaland perlu meninggalkan Borussia Dortmund seandainya mahu meningkatkan permainannya ke tahap seterusnya, kata bekas pertahanan Bayern Munich, Patrik Andersson.

Haaland menyertai Dortmund daripada Red Bull Salzburg pada Disember 2019.

Sejak itu, pemain berusia 21 tahun berkenaan telah menjaringkan 50 gol daripada 50 penampilan Bundesliga dengan purata 1.12 gol bagi setiap 90 minit.

Bahkan, sejak pemain kebangsaan Norway itu melakukan penampilan pertama bersama Dortmund pada 18 Januari 2020, hanya Robert Lewandowski (98) dapat menjaringkan lebih banyak gol berbanding Haaland (71) dalam kesemua kejohanan daripada lima liga utama Eropah.

Tetapi Andersson, yang merekodkan lebih 200 penampilan Bundesliga ketika bersama Bayern dan Borussia Monchengladbach, percaya Haaland perlu mencari angin baru untuk meningkatkan permainannya.

Diminta untuk membandingkan Zlatan Ibrahimovic dan Haaland, juara Bundesliga dua kali itu berkata kepada Stats Perform: "Yang pertama, ia soalan mengenai Zlatan Ibrahimovic dan Erling Haaland dan bercakap mengenai mengambil langkah seterusnya untuk meningkat ke tahap seterusnya.

"Anda tidak boleh membandingkan dua pemain seperti itu kerana kedua-dua mereka unik dengan cara tersendiri. Haaland baru di permulaan karier yang hebat dan Zlatan pula sebaliknya.

"Tetapi saya fikir, apakah bola sepak itu sendiri? Ia tentang kemenangan, memenangi gelaran dan dia melalui perkembangan yang amat baik di Dortmund tetapi secara peribadi, saya fikir dia perlu berpindah untuk mencapai tahap seterusnya.

"Apabila anda bermain, sebagai contoh buat Sweden atau Norway, anda tidak berada di posisi untuk memenangi Piala Dunia atau Kejohanan Eropah, jadi untuk dia memenangi gelaran besar adalah mungkin dengan berpindah ke liga lain yang dia boleh mencapai ke tahap itu.



"Saya fikir berdasarkan kualiti teknikal di sana, dia seorang yang amat kuat, pantas, menjaringkan gol, membantu jaringan pemain lain tetapi ia lebih kepada mencari satu pasukan dan suasana yang lebih baik.

"Sebagai pemain muda, dia perlu memiliki jurulatih yang bergantung kepadanya untuk memberikannya keyakinan, mendorongnya dan tidak terlalu banyak bercakap mengenai liga," katanya.