Erling Haaland patut meninggalkan Borussia Dortmund pada penghujung musim ini, demikian menurut bekas penyerang kelab itu, Ruben Sosa.

Haaland dilaporkan memiliki klausa dalam kontraknya di Signal Iduna Park yang membenarkannya untuk meninggalkan kelab itu dengan bayaran sekitar €75 juta (RM354.39 juta) pada penghujung musim ini.

Sosa -- yang memenangi Bundesliga bersama Dortmund pada 1996 -- percaya penggempur berbangsa Norway itu perlu diberikan peluang untuk bersama salah sebuah pasukan gergasi Eropah sambil menamakan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, sebagai antara pilihan buat pemain berbakat itu.

Bercakap secara eksklusif kepada Stats Perform, Sosa menggesa Haaland supaya tidak gusar dengan kritikan seandainya memilih untuk meninggalkan pasukan itu.

"Saya fikir dia sepatutnya diberikan peluang untuk menyertai pasukan lain," kata bekas pemain Uruguay itu.

"Buat masa ini, dia telah memberikan segala-galanya, seperti yang anda sedia maklum.

"Apabila anda sudah memberikan segala-galanya buat pasukan, anda perlu pergi kerana sesetangah penyokong yang tidak faham tentang bola sepak akan mengkritik anda selepas itu dengan berkata anda menjaringkan banyak gol tetapi kini anda hanya memikirkan tentang wang.

"Saya fikir dia perlu diberikan peluang untuk menyertai kelab lain seperti Real Madrid, Barcelona, Inter Milan, Juventus kerana dia telah memberikan segala-galanya sejak sesingkat waktu dan apa yang menantinya selepas ini adalah kritikan atas sebab-sebab berbeza, sama ada tentang wang atau jika dia tidak lagi menjaringkan gol," katanya.