Pep Guardiola tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas Fernandinho memberitahu bahawa dia tidak akan menyambung kontraknya di Manchester City.

Fernandinho merupakan tonggak utama City sejak menyertai pasukan itu daripada Shakhtar Donetsk pada 2013.

Dia membantu kelab itu memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), satu kejuaraan Piala FA selain memenangi enam trofi Piala Liga Inggeris (EFL).

Bagaimanapun, pada usia 36 tahun, dia kini bertindak sebagai pemain sokongan kepada Rodri di bahagian tengah pasukan itu walaupun dia juga boleh memainkan peranan di bahagian pertahanan tengah.

Fernandinho melakukan 23 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini tetapi hanya 12 daripadanya sebagai kesebelasan pemula dan dia kini memberikan gambaran bahawa sudah sampai masanya untuk dia meninggalkan kota Manchester.

"Saya tidak fikir begitu," katanya dalam sidang media ketika ditanya sama ada dia akan melanjutkan tempohnya di Manchester atau tidak.

"Saya mahu sentiasa bermain. Saya akan kembali ke Brazil. Saya memilih untuk bersama keluarga, di mana ia merupakan perkara terpenting buat saya," katanya.



Guardiola, bagaimanapun, terkejut dengan pendedahan itu.

"Oh, saya tidak tahu. Anda telah memberikan berita ini buat saya,"kata pengurus City itu kepada media.

"Saya tidak pernah mendengarnya. Kita akan melihat apa yang akan berlaku. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Dia pemain yang penting. Saya akan berbincang dengannya.

"Pada penghujung musim ini, kami akan mengadakan perbincangan, mungkin ia disebabkan keluarganya. Saya suka untuk berbincang dan kami akan berbincang mengenainya," katanya.

City akan berdepan Atletico Madrid dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, di mana mereka membawa akan kelebihan satu gol daripada perlawanan pertama minggu lalu.