WOLVES 0 MANCHESTER CITY 3

Pep Guardiola mempertahankan peranan Erling Haaland di Manchester City sambil menegaskan pemain antarabangsa Norway itu tidak menjejaskan corak permainan pasukannya musim ini.


Haaland meledak hatrik keempatnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini untuk melepasi angka Kasut Emas kempen lalu dengan mencipta jaringan ke-25 ketika membelasah Wolves 3-0, tengah malam tadi.

Di sebalik persembahan luar biasanya, City kini ketinggalan daripada segi perebutan kejuaraan tatkala Arsenal terus melakar rentak kemenangan liga.

Ada yang menganggap ia ada kena mengena dengan kehadiran Haaland memandangkan kadangkala City terpaksa menyesuaikan diri dengan keperluannya dan bukannya sebaliknya, namun Guardiola sedar kualiti yang dimiliki ayam tambatannya itu.

“Apabila kami kalah dalam Perisai Komuniti, segala perdebatan mengenainya menjurus kepada bahawa dia tidak akan menyesuaikan diri dalam EPL,” katanya.






"Apabila kami kebuntuan gol, orang akan mula berkata kononnya dia adalah punca masalah dalam pasukan ini. Apa pun, kami tahu kualiti yang dimilikinya. Kami perlu menyesuaikan beberapa pergerakan untuk memudahkannya.

"Dia bukan seorang pemain yang gemar memegang bola. Dia perlu mempunyai bola dihantar ke sekelilingnya. Dia mempunyai pemain yang hebat di sekelilingnya. Dia sentiasa bergerak 24 jam untuk melaksanakan tugasnya.

"Dia tidak terlalu tertekan sama ada ketika situasi kami berjalan dengan baik mahupun bertukar buruk.

"Jumlah jaringannya luar biasa. Tetapi realitinya kami masih ketinggalan."