Pep Guardiola memuji kecemerlangan Jack Grealish menyesuaikan diri di Manchester City menjelang kunjungan ke Newcastle United.

City berada satu mata di depan Liverpool di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencipta tujuh kemenangan berturut-turut. Satu lagi kemenangan bakal menyaksikan mereka mencipta rekod baru untuk kemenangan terbanyak liga dalam setahun iaitu 34 kali.

Terbaru, mereka membelasah Leeds United 7-0 di pertengahan minggu ini dengan bintang termahal mereka itu, Grealish, turut menemui sentuhan penyudah dalam satu persembahan mengagumkan yang turut menyaksikan dia menyempurnakan 41 daripada 43 hantarannya selain menerima kekasaran tertinggi, iaitu tiga kali dalam pertembungan berkenaan.

Ia hanya gol kedua liga buat bekas kapten Aston Villa itu sejak berpindah ke Stadium Etihad, malah dia juga menghasilkan dua bantuan jaringan.

Ia juga merupakan gol tandukan pertamanya dalam liga, tetapi Guardiola menegaskan dia gembira dengan sumbangan menyeluruh pemain antarabangsa England itu.

Malah, hanya Trent Alexander-Arnold (47), Bruno Fernandes (45) dan Mohamed Salah (34) telah mencipta lebih banyak peluang berbanding Grealish (30) dalam liga utama Inggeris musim ini.





"Jack adalah seorang pemain yang cemerlang. Dia mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan telah bermain dengan begitu baik untuk kami," kata pengurus dari Sepanyol itu.

“Adalah penting untuk setiap pemain berasakan mereka mampu menyumbangkan gol, bahkan dia telah beraksi dengan baik sepanjang musim ini dan kami sedar apa yang diharapkan daripadanya.

"Ia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan corak permainan baru, tetapi Jack tahu apa yang dia perlu lakukan dan kami akan terus melihat perkembangannya."