MANCHESTER CITY 0 CRYSTAL PALACE 2

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak berpuas hati dengan layangan kad merah buat Aymeric Laporte dan gol Gabriel Jesus yang dibatalkan ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam tadi.

Wilfried Zaha meledakkan gol pembukaan pada awal permainan sebelum Laporte dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan dan menafikan peluang Zaha menjaringkan gol kedua.

Jesus sepatutnya menjaringkan gol penyamaan City tetapi jaringannya dibatalkan selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) kerana kelihatan sedikit berada di kedudukan ofsaid sebelum Conor Gallagher melengkapkan kemenangan 2-0 Palace pada lewat permainan.

Sebagai perbandingan, pertahanan Leicester City, Jonny Evans, melakukan kesalahan yang hampir sama dengan apa yang Laporte lakukan sewaktu menyekat penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, dalam perlawanan lebih awal tetapi hanya dilayangkan kad kuning.

Guardiola tidak dapat menandakan perlawanan EPL yang ke-200 bersama City dengan kemenangan dan tidak berselindung di sebalik kekecewaannya terhadap keputusan pengadil sambil menegaskan pasukannya sudah beraksi baik dalam perlawanan itu dan hanya melakukan kesilapan ketika membenarkan lawan memperoleh gol pembukaan.

"Banyak perkara menjadi tidak betul," katanya kepada BBC selepas perlawanan itu.

"Kami dibolosi gol awal, bermain dengan baik dalam babak pertama tetapi pada masa sama, kami dilayangkan kad merah berdasarkan situasi yang ditafsir oleh pengadil.

"Penyokong banyak membantu kami tetapi malangnya jaringan kami dibatalkan.

"Petang tadi, Jonny Evans melakukan perkara sama tetapi hanya dilayangkan kad kuning. Ia satu tafsiran daripada pengadi. Kami melakukan kesilapan sehingga dibolosi dan yang kedua, kad merah atau kad kuning ditentukan oleh pengadil.

"Ia VAR. Saya tidak tahu tentang garisan itu. Ia kad kuning di Leicester dan kad merah di sini. Pengadil adalah bos dan mereka yang menentukannya. Kami dibolosi atas kesilapan kami sendiri," katanya.