Jack Grealish yakin Manchester City mampu menawan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) serentak sambil menegaskan kekalahan Piala FA kepada Liverpool tidak akan menjejaskan baki cita-cita mereka.

Kelmarin, skuad bimbingan Pep Guardiola itu menempa kekalahan 2-3 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan kepada pasukan kendalian Jurgen Klopp tersebut selepas dua gol Sadio Mane menokok jaringan pembukaan Ibrahima Konate untuk memberikan The Reds pendahuluan selesa dalam separuh masa pertama.

Gol daripada Grealish dan Bernardo Silva hampir merealisasikan kebangkitan luar biasa dalam babak kedua tetapi City berdepan jalan buntu dalam pencarian jaringan penyamaan untuk mengelak tumpas kepada Klopp buat julung kalinya di Wembley selepas cemerlang menerusi penentuan sepakan penalti dalam kedua-dua final Piala Liga Inggeris (EFL) 2016 dan Perisai Komuniti 2019.

City terkandas dalam empat daripada lima percubaan separuh akhir Piala FA terakhir, namun bintang England itu menganggap berkata kekalahan tersebut sama sekali tidak akan menjejaskan percubaan mereka dalam misi menafikan The Reds untuk merebut trofi EPL dan UCL.

"Ya, 100 peratus (kami mampu memenangi kedua-dua baki gelaran)," katanya kepada saluran media rasmi kelab.




“Dengan bakat dan pengalaman yang ada di bilik persalinan, saya tidak fikir sesiapa pun dalam kancah liga yang mempunyai kumpulan berbakat seperti ini.

"Persembahan dan kedudukan kami dalam liga telah membuktikannya. Kami hanya perlu bangkit, terus berjuang lagi dan semoga menjelang akhir musim ini kami akan memenangi EPL dan UCL.

"Itulah yang anda akan dapati di Manchester City kerana kami sentiasa mengintai beberapa kejuaraan pada penghujung musim, kami kekal beri fokus satu persatu perlawanan."