Rory McIlroy berasakan catatan par 70 dalam pusingan pertama Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) bukanlah terlalu buruk selepas bergelut di San Francisco.

Juara utama empat kali itu merakam empat birdie dan empat bogey dalam aksi di TPC Harding Park, awal pagi tadi.

McIlroy mengakui terlepas peluang dalam pusingan pertama tetapi percaya mungkin berdepan catatan yang lebih buruk lagi.

"Daripada segi keadaan, tiada angin dan cuaca sedikit panas, ia sesuatu yang bagus," kata pemain Ireland Utara itu.

"Saya rasa ada beberapa bahagian di lapangan ini yang perlu diberi perhatian. Jason Day mampu mencatat lima di bawah par sementara ada beberapa pemain yang merekodkan empat di bawah par.

"Banyak cabaran di kawasan 'green'. Terdapat banyak arah angin. Contohnya, terdapat beberapa lubang di mana angin atau pin berada di sebelah kanan green jadi apabila angin bertiup dari sebelah kanan ke kiri, ia menjadi sukar untuk merapatinya. Kami lebih gemar dapat mencecah kawasan tengah green.

"Ia cabaran yang perlu dihadapi pada hari ini. Catatan saya mungkin lebih rendah lagi tetapi saya masih dapat mengatasinya dan aksi saya di sembilan lubang terakhir sebenarnya tidaklah terlalu teruk. "



Selepas melakukan birdie di lubang pembukaan -- 10 secara keseluruhannya -- McIlroy melakukan tiga bogey berturut-turut bermula di lubang 12 sebelum bangkit.

Sehubungan itu, dia sedar perlu mempamerkan peningkatan dalam pusingan kedua selepas bergelut dengan tee ketika di lubang 18.

"Sebenarnya saya bermula dengan baik, seperti di lubang pertama hari ini, ia birdie yang ke-10 buat kami, kemudian saya mencatat tiga bogey berturut-turut. Saya akhirnya melakar bogey yang cukup bagus di lubang 14," katanya.

"Selepas itu, saya gembira, saya membuat tiga birdie bagi mengimbangi par untuk hari yang bagus ini. Ia sesuatu yang bagus.

"Saya jarang dapat mencecah fairways di sembilan lubang permulaan jadi di lubang selebihnya, saya hanya cuba bermain di bahagian depan green dan melakukan dua putt dari jarak 40 kaki sebelum beralih ke lubang seterusnya.

"Saya perlu melakukan fairway esok untuk cuba mendekati green dan tidak membenarkan diri sendiri ketinggalan hingga empat dan lima pukulan sepanjang hari."

Day dengan catatan lima di bawah par 65 mengetuai kejohanan -- di samping Brendon Todd -- dengan kelebihan satu pukulan dalam usahanya meraih kemenangan hatrik.